Guru bahasa Inggeris cuba rogol anak murid dijel 8 tahun
KOTA BHARU 8 Feb. - Akibat cuba merogol anak muridnya empat tahun lalu, seorang guru bahasa Inggeris berusia 54 tahun dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.Nasir Abd. Rahman dari Gual Nering, Rantau Panjang turut dihukum penjara lima tahun kerana cuba mencabul kehormatan anak muridnya itu yang berusia 15 tahun ketika kejadian.
Bukan itu sahaja, tertuduh juga dihukum penjara tiga tahun lagi atas kesalahan memiliki gambar lucah yang disimpan dalam telefon bimbit dan komputer riba kepunyaannya.
Hakim Zainal L. Salleh bagaimanapun memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan serentak dan ini bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara lapan tahun.
''Sebagai seorang pendidik, kamu telah lakukan perbuatan jijik terhadap anak murid kamu.
''Kamu didapati bersalah dan hukuman perlu setimpal dengan apa yang dilakukan agar dapat menyampaikan mesej kepada masyarakat,'' tegas Zainal dalam keputusannya.
Namun mahkamah membenarkan permohonan tertuduh untuk menggantung pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan selesai di Mahkamah Tinggi selain lelaki itu diizinkan diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.
Mengikut pertuduhan pertama, Nasir didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat hendak mencabul kehormatan mangsa di bilik unit peperiksaan sebuah sekolah menengah di Rantau Panjang pada pukul 3.30 petang, 16 Mac 2007.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa cuba merogol anak muridnya itu di sebuah rumah beralamat PT 1832 Kampung Gual Nering pada pukul 12 tengah hari, 14 April 2007.
Nasir turut menghadapi pertuduhan ketiga iaitu didakwa memiliki gambar lucah dalam telefon bimbit jenis Nokia N90 dan komputer riba jenis Acer berwarna perak di Balai Polis Rantau Panjang pada pukul 11.25 malam, 24 April 2007.
Terdahulu, peguam bela tertuduh, Shamsul Baharin Abdullah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang minimum memandangkan anak guamnya sudah agak berusia untuk menjalani hukuman penjara bagi tempoh yang lama.
''Tertuduh juga satu-satunya yang menyara keluarga. Isterinya yang merupakan warganegara Thailand tidak bekerja dan hidup sebatang kara. Mereka mempunyai anak angkat berusia dua tahun,'' katanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nooriah Osman.
No comments:
Post a Comment