Rahsia Tawan Hati Isteri

Monday, December 20, 2010

Ryan Chong Yiing Yih yang juga bekas suami Daphne Iking, mengaku

Bekas suami mengaku ada hubungan sulit dengan GRO

KUALA LUMPUR 20 Dis. - Ahli perniagaan, Ryan Chong Yiing Yih yang juga bekas suami Daphne Iking, mengaku bahawa dia pernah menjalinkan hubungan sulit dengan seorang gadis pelayan pelanggan (GRO) warga China ketika model dan pengacara terkenal itu sedang sarat mengandung.
Ryan, 31, yang menjalankan perniagaan di China berkata, hubungannya dengan GRO tersebut yang dikenali sebagai Serena terjalin semasa dia berkunjung ke sebuah pusat karaoke di Shanghai pada Jun 2007.
Bagaimanapun sebulan selepas itu, menurutnya, dia telah berterus-terang kepada Daphne mengenai hubungan tersebut dan memohon maaf daripada bekas isterinya itu.
Ditanya oleh peguam Datuk Jagjit Singh sama ada tujuan dia meminta maaf disebabkan oleh Daphne sedang mengandung ketika itu atau bekas isterinya sudah mengetahui hubungan sulit tersebut, jawab Ryan:
"Saya memohon maaf semata-mata atas dasar sukarela dan berasa bersalah kerana dia isteri saya.
"Memang saya mengetahui bahawa Serena pernah memaklumkan kepada Daphne mengenai hubungan tersebut melalui blog (Daphne), tetapi bukan itu tujuan saya secara terbuka mengaku bersalah.''
Selain itu, Ryan menafikan dakwaan Jagjit bahawa dia telah memberikan wang sebanyak RMB 2 juta (RM942,515.83) kepada Serena dengan tujuan GRO tersebut menutup mulut.
Ryan berkata demikian sewaktu pemeriksaan balas oleh Jagjit yang mewakili Darren Choy Khin Min, 45, dalam perbicaraan kes saman peribadinya terhadap lelaki tersebut di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Darren didakwa memikat atau membawa pergi Daphne yang ketika itu masih isteri Ryan dengan niat untuk membolehkannya melakukan persetubuhan yang ditegah di sebuah rumah yang beralamat di B-13-2 The Plaza, Jalan Wan Kadir 3, Taman Tun Dr. Ismail di sini antara Julai 2007 dan September 2008.
Darren dipercayai individu pertama didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Perbicaraan yang masuk hari ketiga hari ini turut dihadiri oleh Darren.
Dalam keterangannya, Ryan turut menafikan bahawa dia seorang yang tamak apabila menghantar surat bertarikh 17 Oktober 2008 kepada Darren untuk menuntut RM5 juta sebelum dikurangkan kepada RM2.5 juta sebagai penyelesaian agar kes itu tidak dibawa ke muka pengadilan.
''Pada tarikh yang sama, saya juga menghantar sepucuk surat kepada Daphne untuk menuntut ganti rugi RM1 juta kerana mengandungkan anak orang lain ketika kami bergelar suami isteri,'' katanya.
Ryan diwakili peguam Wong Kian Kheong dan Chris Lim manakala Darren turut diwakili peguam Akbardin Abdul Kader.
Perbicaraan di hadapan Majistret Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah bersambung pada 4 Mac tahun depan.

Thursday, December 2, 2010

Atuk Berusia 56 tahun Pujuk Budak 13 thaun lakukan seks

Warga emas dijel 10 tahun, 6 sebatan

BATU PAHAT 2 Dis. - Perkenalan antara seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun dengan seorang lelaki berusia 56 tahun terjalin apabila kanak-kanak itu tersalah menghubungi nombor telefon warga emas tersebut.
Sejak itu, mereka saling berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS) selama sembilan bulan sebelum kanak-kanak itu mengambil keputusan lari dari rumahnya di Gemas, Negeri Sembilan untuk bertemu warga emas daripada golongan kurang upaya (OKU) itu buat pertama kalinya.
Itupun setelah kanak-kanak itu dijanjikan untuk dibawa bersiar-siar ke Genting Highlands.
Sebaliknya, apa yang berlaku, kanak-kanak itu telah diperkosa oleh warga emas berkenaan yang mengalami kecacatan di kedua-dua bahagian tangannya.
Hari ini, tukang kayu tersebut menerima pembalasan apabila dihukum penjara 10 tahun dan sebatan enam kali setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan merogol kanak-kanak berkenaan pada hujung tahun lalu.
Mohd. Sairi Munajar @ Munajat dijatuhi hukuman itu oleh Hakim Abu Bakar Manat selepas pihak pendakwaan didapati berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Dalam keputusannya, Abu Bakar menegaskan, hukuman berat perlu dijatuhkan sebagai peringatan dan amaran kepada orang ramai memandangkan kes rogol membabitkan mangsa bawah umur semakin berleluasa dan membimbangkan.
"Saya tahu kamu suka sama suka tetapi gadis ini masih kecil lagi dan bertaraf cucu kepada kamu. Selagi mangsa di bawah usia, undang-undang negara ini mengklasifikasikan tindakan kamu sebagai kes rogol.
"Kamu sudah berumur 56 tahun, seharusnya melindungi serta menasihatkan mangsa yang masih kanak-kanak, bukan memujuk rayu mangsa untuk melakukan hubungan seks dengan kamu," katanya.
Mohd. Sairi didakwa merogol mangsa yang berusia 13 tahun sembilan bulan ketika kejadian, di Asrama Pekerja Kilang Syarikat Berjaya Perniagaan Kayu Kayan T dan Y, di Batu 19, Kampung Dalam Ayer Hitam di sini pada pukul 11.30 malam, 24 Oktober 2009.
Dia turut dituduh merogol mangsa di tempat sama antara pukul 2 petang dan 11 malam pada keesokan harinya.
Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, Mohd. Sairi didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Terdahulu, tertuduh merayu mahkamah supaya tidak mengenakan hukuman sebatan terhadapnya kerana dia menghidap penyakit asma dan atas faktor usianya yang sudah tua.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiah Saini manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela selepas dua peguam yang dilantik sebelum ini menarik dir