Bekas suami mengaku ada hubungan sulit dengan GRO
KUALA LUMPUR 20 Dis. - Ahli perniagaan, Ryan Chong Yiing Yih yang juga bekas suami Daphne Iking, mengaku bahawa dia pernah menjalinkan hubungan sulit dengan seorang gadis pelayan pelanggan (GRO) warga China ketika model dan pengacara terkenal itu sedang sarat mengandung.Ryan, 31, yang menjalankan perniagaan di China berkata, hubungannya dengan GRO tersebut yang dikenali sebagai Serena terjalin semasa dia berkunjung ke sebuah pusat karaoke di Shanghai pada Jun 2007.
Bagaimanapun sebulan selepas itu, menurutnya, dia telah berterus-terang kepada Daphne mengenai hubungan tersebut dan memohon maaf daripada bekas isterinya itu.
Ditanya oleh peguam Datuk Jagjit Singh sama ada tujuan dia meminta maaf disebabkan oleh Daphne sedang mengandung ketika itu atau bekas isterinya sudah mengetahui hubungan sulit tersebut, jawab Ryan:
"Saya memohon maaf semata-mata atas dasar sukarela dan berasa bersalah kerana dia isteri saya.
"Memang saya mengetahui bahawa Serena pernah memaklumkan kepada Daphne mengenai hubungan tersebut melalui blog (Daphne), tetapi bukan itu tujuan saya secara terbuka mengaku bersalah.''
Selain itu, Ryan menafikan dakwaan Jagjit bahawa dia telah memberikan wang sebanyak RMB 2 juta (RM942,515.83) kepada Serena dengan tujuan GRO tersebut menutup mulut.
Ryan berkata demikian sewaktu pemeriksaan balas oleh Jagjit yang mewakili Darren Choy Khin Min, 45, dalam perbicaraan kes saman peribadinya terhadap lelaki tersebut di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Darren didakwa memikat atau membawa pergi Daphne yang ketika itu masih isteri Ryan dengan niat untuk membolehkannya melakukan persetubuhan yang ditegah di sebuah rumah yang beralamat di B-13-2 The Plaza, Jalan Wan Kadir 3, Taman Tun Dr. Ismail di sini antara Julai 2007 dan September 2008.
Darren dipercayai individu pertama didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Perbicaraan yang masuk hari ketiga hari ini turut dihadiri oleh Darren.
Dalam keterangannya, Ryan turut menafikan bahawa dia seorang yang tamak apabila menghantar surat bertarikh 17 Oktober 2008 kepada Darren untuk menuntut RM5 juta sebelum dikurangkan kepada RM2.5 juta sebagai penyelesaian agar kes itu tidak dibawa ke muka pengadilan.
''Pada tarikh yang sama, saya juga menghantar sepucuk surat kepada Daphne untuk menuntut ganti rugi RM1 juta kerana mengandungkan anak orang lain ketika kami bergelar suami isteri,'' katanya.
Ryan diwakili peguam Wong Kian Kheong dan Chris Lim manakala Darren turut diwakili peguam Akbardin Abdul Kader.
Perbicaraan di hadapan Majistret Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah bersambung pada 4 Mac tahun depan.